Wednesday, May 21, 2008

Hadis Empat Puluh Imam Nawawi : Hadis 2

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitabkitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

Hadis Empat Puluh Imam Nawawi : Hadis 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al- Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih

Monday, May 12, 2008

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani (6)

Keenam — Galakan supaya berbekal dengan sentiasa mengerjakan ibadat-ibadat sunat

Antara perkara-perkara yang boleh menghampirkan seseorang hamba kepada Allah, dan menjadikannya berada dalam suatu kedudukan di mana ia dicintai dan diredai Allah serta dapat meningkatkan.tarafnya ke peringkat para Siddiqin al Abrar ialah penjagaannya yang berkekalan ke atas ibadatibadat sunat ketika mana setiap kali terluang kepadanya kelapangankelapangan
sama ada di waktu malam atau siang hari. Maka marilah kita mendengar kepada apa yang telah dijelaskan oleh syarak tentang kelebihan ibadat sunat serta balasan-balasannya bagi orang yang mengerjakannya dengan penuh keikhlasan.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 79 yang berbunyi: “Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

Riwayat Syaikhan, daripada Nabi s.a.w bersabda: “Dan barangsiapa yang menghampiri kepada ku sebanyak sejengkal maka aku akan menghampiri kepadanya sebanyak sehasta, dan barangsiapa yang menghampiriku sehasta, maka aku akan menghampiri kepadanya sedepa, dan apabila hamba itu datang kepadaku dengan berjalan maka aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Dan akan sentiasalah hambaku menghampiriku dengan ibadat sunat sehingga aku kasih kepadanya.” Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa daripada hamba muslim yang mengerjakan sembahyang sunat tiap-tiap hari sebanyak dua belas rakaat selain daripada sembahyang fardu maka akan dibina kepadanya sebuah mahligai di syurga.”

Maksud ibadat sunat ialah: Ibadat-ibadat sunat selain daripada fardu sama ada di dalam ibadat sembahyang, puasa, sedekah ataupun haji.
Tidak keberatanlah bagi saya untuk membentangkan kepada engkau, wahai saudaraku para pendakwah beberapa contoh daripada ibadat sunat sama ada di dalam sembahyang, puasa, sedekah dan haji, memandangkan kepada peri pentingya ibadat-ibadat ini di dalam keseluruhan amal ketaatan terhadap Allah s.w.t. Semoga engkau akan mendapat kesan dan faedahnya bagi diri engkau dan seterusnya engkau akan bangun melaksanakannya ketika mana engkau terdedah kepada kelapangan-kelapangan daripada waktu engkau.
1. SEMBAHYANG-SEMBAHYANG SUNAT
1.1. SunatDhuha
Muslim meriwayatkan daripada Abi Zar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedekah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.”
Muslim meriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a telah berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang sunat Dhuha sebanyak empat rakaat dan ditambah mengikut yang dikehendakinya. Riwayat Muslim daripada Ummu Hani’ pula, bahawasanya Nabi s.a.w mengerjakannya sebanyak lapan rakaat.

Maka kita dapat simpulkan daripada tiga riwayat di atas bahawasanya sekurang-kurangnya sembahyang sunat Dhuha itu ialah dua rakaat, pertengahannya ialah empat dan yang sebanyak-banyaknya ialah lapan, maka pilihlah sembahyang sunat tersebut mengikut apa yang dikehendaki. Waktu Dhuha ini bermula selepas matahari naik setengah jam hinggalah lebih kurang sejam sebelum Zuhur.

1.2. Sembahyang sunat al-Awwabin.
Iaitu sebanyak enam rakaat selepas daripada sembahyang maghrib, sebagaimana riwayat ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Barangsiapa yang sembahyang (sunat) selepas maghrib sebanyak enam rakaat dan ia tidak bercakap di antaranya dengan kejahatan, maka Kami (Allah) akan mengganjarkan baginya dengan ibadat selama 12 tahun.
1.3. Dua rakaat sunat Tahiyyatul Masjid.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Jika salah seorang daripada kamu memasuki masjid, maka janganlah kamu duduk sehingga kamu mengerjakan dua rakaat sembahyang sunat.

1.4. Dua rakaat sunat Wuduk.

Bukhari meriwayatkan daripada Abi Hurairah berkata: “Bersabda Rasulullah s.a.w kepada Bilal r.a: “Hai Bilal, ceritakanlah kepadaku amal perbuatan apakah yang telah engkau lakukan yang baik sekali di dalam Islam, kerana aku telah mendengar suara tapak kaki engkau di syurga?” jawab Bilal: “Tiada satu amal yang sangat saya harapkan di dalam Islam, selain dari jika aku selesai ber wuduk baik di waktu malam atau siang, maka aku mengerjakan sembahyang mengikut kemampuan ku.”
1.5. Sembahyang malam.

Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: “Sembahyang yang paling afdal selepas sembahyang fardu ialah sembahyang malam.”
Imam Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Umamah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Berpegang teguhlah kepada sembahyang malam kerana ia adalah kebiasaan orang-orang salih dan ia mendekatimu kepada Tuhanmu, menghapuskan dosa-dosa kecil dan mencegah daripada perbuatan dosa.”

Tarmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Salam r.a daripada Nabi s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan dan sembahyang di malam hari, di waktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk syurga dengan selamat.” Bilangan yang paling sedikit bagi sembahyang malam ialah sebanyak dua rakaat dan yang paling afdal ialah lapan rakaat namun tidak dihadkan bilangan yang paling banyak. Ia merupakan sembahyang sunat yang paling afdal kerana ia lebih mendekatkan diri kepada rasa ikhlas dan menjauhkan daripada riak.

1.6. Sembahyang Tarawih.
Sembahyang ini dikerjakan sebanyak 20 rakaat dengan 10 salam (selepas setiap dua rakaat) setiap malam di sepanjang bulan Ramadan — secara berjemaah selepas menunaikan sembahyang Isyak. Al-Baihaqi meriwayatkan daripada As- Sa’ib bin Yazid r.a berkata: “Mereka telah mendirikan (sembahyang tarawih) pada zaman pemerintahan Umar A1-Khattab r.a sebanyak 20 rakaat di bulan Ramadan, mereka berdiri dengan khusyu’, sehingga terpaksa bersandar kepada tongkat-tongkat mereka kerana terlalu lama berdiri pada zaman pemerintahan Uthman bin Affan. (Riwayat Baihaqi)
As-Syaikhan meriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Aku telah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w dua rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat sesudah Jumaat, dua rakaat sesudah Maghrib dan dua rakaat sesudah Isyak.”
Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a bahawasanya Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum zuhur dan dua rakaat sebelum subuh.
As-Syaikhan meriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffal r.a berkata: “Bersabda Rasulullah s.a.w: Di antara dua azan ada sembahyang sunat, di antara dua azan ada sembahyang yang sunat, di antara dua azan ada sembahyang sunat.” Apa yang dimaksudkan dengan dua azan dalam hadis ini ialah azan dan iqamah dan yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat ialah sembahyang sunat rawatib.

B. PUASA SUNAT
Dasar dalam membicarakan tentang kelebihan puasa sunat ini ialah apa yang diriwayatkan oleh muslim daripada Abi Said al-Khudri r.a daripada Nabi s.a.w bersabda: “Tiada seorangpun yang berpuasa sehari di jalan Allah kecuali Allah akan menjauhkan wajahnya dengan hari itu daripada neraka tujuh puluh kharif.” (Muslim).
Puasa sunat itu mempunyai beberapa bahagian iaitu:
1. Puasa hari ‘Arafah.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawasanya Nabi s.a.w
bersabda:
“Puasa pada hari ‘Arafah akan dikira oleh Allah s.w.t sebagai penebus dosa bagi tahun yang sebelumnya dan juga tahun selepasnya.”
2. Puasa pada hari ‘Asyura’ dan hari yang kesembilan dan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram.

Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah: “Puasa pada hari Asyura’ dikira oleh Allah s.w.t sebagai penebus dosa bagi tahun yang sebelumnya dan tahun yang selepasnya.”
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Puasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan berlainanlah kamu daripada kaum Yahudi, puasalah pada hari sebelumnya atau hari selepasnya.”
Berdasarkan riwayat-riwayat ini sah bagi orang yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu berpuasa pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas supaya berbeza daripada orang-orang Yahudi.
3. Puasa enam hari bulan Syawal.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Ayub al-Ansari r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari daripada Syawal, maka dia dikira sebagai orang yang telah berpuasa sepanjang masa (setahun).
4. Puasa hari Al—Baidh.
Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Zar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika engkau puasa tiga hari dalam sebulan maka puasalah pada tarikh 13, 14 dan 15 daripada bulan itu.
Bulan yang dikehendaki di sini ialah bulan qamariah. Dinamakan hari A1-baidh (hari putih) kerana bulan pada hari-hari ini sangat bercahaya dan terang (putih).
5. Puasa hari Isnin dan Khamis.
Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah berpuasa pada dua hari yang tersebut, lalu ditanyakan tentang itu kepada baginda s.a.w, baginda bersabda. “Asal perbuatan itu diperiksa pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, maka aku suka diperiksa amalku sedang (ketika) aku berpuasa.
6. Puasa sehari dan berbuka sehari.

Iaitu puasa Nabi Daud a.s, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abdullah bin Umar r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa sehari dan berbuka sehari, maka itu adalah merupakan puasa Nabi Daud a.s di mana ianya merupakan seafdal-afdal
puasa.”
Selain daripada itu para pendakwah juga boleh berpuasa pada hari-hari dan bulan-bulan yang ditetapkan puasanya oleh Sunnah Nabawiyyah. Puasa merupakan ibadat yang dapat melatih seorang mukmin untuk bersifat ikhlas dan menjauhkan dirinya daripada riak kerana orang yang berpuasa sunat tidak diketahui puasanya itu kecuali Allah sahaja. Dan Allah s.w.t sahajalah yang akan memberikan ganjaran pahala kepada orang-orang yang berpuasa dengan balasan yang sepatutnya daripada balasan-balasan pahala.

C. SEDEKAH SUNAT
Ianya merupakan amalan sunat yang memberi keuntungan kepada tuannya dengan balasan pahala yang besar yang tidak diketahui nilaiannya kecuali Allah sahaja. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 261. “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang
menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” Sedekah itu akan diganti dan diberkati serta dilimpahi oleh Allah s.w.t dengan kelebihan-Nya, disebabkan pengorbanan dan jasanya. Firman Allah s.w.t dalam surah Saba’, ayat 29: Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya.” As-Syaikhan meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada satu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali
bersamanya dua orang malaikat yang turun dan berkata salah seorang daripadanya, “Ya Allah kurniakanlah kepadanya gantian apa yang telah disedekahkannya, manakala yang lain berdoa: “Ya Allah berikanlah kebinasaan kepada orang yang bakhil.” Sedekah sunat ini mencukupi untuk menjadikan tuannya dalam keadaan baik dan mulia dan membebaskan seseorang mukmin daripada sifat tamak haloba dan melatih diri mereka untuk berkorban dan bersedekah serta mengutamakan orang lain. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hasyr ayat: 9 “Dan mereka mengutamakan orang-orang lain atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr: 9)
D. HAJI DAN UMRAH SUNAT

Di antara perkara-perkara sunat yang boleh mendekatkan seorang hamba kepada Allah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan daripada dirinya serta memasukkannya ke dalam syurga ialah haji dan umrah yang sunat. Kedua-duanya merupakan tangga peningkatan ke arah kelebihan-kelebihan dan kemuliaan-kemuliaan, juga dapat membangkitkan unsur-unsur rohani.

Di bawah ini diperturunkan hasil bagi orang orang yang mengerjakan haji dan umrah. As-Syaikhan meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Siapa yang melakukan ibadat haji dan tidak berbuat keji dan fasik, maka ia akan kembali bersih dan dosanya bagaikan bayi yang lahir dari kandungan ibunya.” As-Syaikhan meriwayatkan lagi bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Kelakuan umrah sampai kepada umrah yang akan datang merupakan tebusan dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji mabrur itu tidak ada balasannya selain dari syurga.” Seterusnya Muslim meriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Tidak ada hari yang paling baik untuk membebaskan seseorang hamba daripada api neraka kecuali hari Arafah.” As-Syaikhan meriwayatkan lagi daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: “Umrah yang dilakukan pada masa bulan Ramadan sama dengan haji yang dikerjakan bersama denganku.”

Jika beginilah wahai saudaraku para pendakwah, tentang balasan bagi orang yang beribadat dan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan amalan-amalan sunat dengan penuh khusyu’, maka bersungguh- sungguhlah dengan sentiasa berbekal dan melengkapkan diri dengan amalan-amalan sunat untuk memperolehi pahala dan balasan yang besar di hari akhirat. Semoga engkau diliputi oleh Allah s.w.t dengan kasih sayang, keredaan dan keampunan-Nya, serta terhitung daripada orang-orang yang dapat menaiki tangga kesempurnaan, kesucian dan kerohanian. Kita telah membicarakan wahai saudara-saudaraku para pendakwah tentang perkara-perkara penting yang dapat memberikan tenaga rohiah jiwa manusia dan membekalkan hatinya dengan limpahan kesucian. Bahkan ianya yang dapat menjadikan kamu contoh-contoh yang baik dan salihah dalam keikhlasan dan takwa serta pengorbanan dan perjuangan. Engkau telah melihat di antara perkara-perkara itu ialah yang menyentuh soal hati dan ia merangkumi:
— Sentiasa bermuraqabah dengan Allah.
— Mengingati mati dan apa yang berlaku selepasnya.
— Mengingati akhirat dan keadaan-keadaannya.
Dan di antaranya juga ialah amalan-amalan yang boleh dipraktikkan atau dilaksanakan seharian, ianya merangkumi:
— Membaca al-Quran al-Karim dengan tadabbur dan penuh khusyu’.
— Sentiasa mendampingi nabi melalui sirah dan perjalanan hidupnya yang murni.
— Sentiasa mendampingi orang-orang salih yang dipilih oleh Allah, seperti aulia-aulia Allah dll.
— Sentiasa mengekalkan zikrullah pada setiap waktu dan keadaan.
— Menangis ketika berseorangan di tempat sunyi kerana takutkan Allah.
— Sentiasa berkekalan dalam membekali diri dengan ibadat dan amalan-amalan sunat.
Pada pendapat saya bahawa para pendakwah, apabila mereka se ntiasa merasakan kelazatan kerohanian, diri-diri mereka akan memancarkan cahaya kebersihan, jiwa-jiwa mereka akan menerbitkan pancaran-pancaran keikhlasan dan roh-roh mereka akan berada di langit kesucian dan ilham bahkan mereka akan menjadi contoh yang tinggi kepada orang-orang yang meminta belajar dan bertemu mereka dalam kebenaran memperkatakan sesuatu perkataan kebaikan tingkah laku, kekuatan pengorbanan, sentiasa menunjukkan contoh yang baik, sentiasa membuat perubahan yang syumul dan melakukan islah yang berterusan.
Firman Allah s.w.t, surah Yunus ayat 58: “Katakan, dengan kurnia Allah dan dengan rahmat-Nya.” (Yakni Allah turunkan Quran dan nasihat itu dengan kurnia-Nya) maka dengan itu hendaknya mereka bergembira, iaitu (Quran dan nasihat-nasihat) itu lebih baik dari apa yang
mereka kumpulkan
.” (Yunus :58)

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani (5)

Kelima- Tangisan ketika bersendirian kerana takutkan Allah SWT.

Tidak diragui lagi seorang pendakwah ketika mana beliau bersendirjan menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah dan mengingati segala dosa yang telah dilakukannya, berfikir tentang azab neraka jahanam dan keadaannya, mengingati akhirat dan kedahsyatannya, mengingati kematian dan rentetan peristiwa selepasnya, menghisab segala amalan yang dikerjakannya dan membandingkannya dengan amalan orang yang terdahulu, lalu gementarlah hatinya, menggeletar dan menangislah matanya. Setelah itu, ia kembali menghadap Tuhannya dengan penuh taubat, istighfar, mengingatinya dan memelihara segala hukum hakamnya, mematuhi segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Bahkan beliau ada lah merupakan orang-orang yang bersegera melakukan kebaikan, menerima segala ketaatan dan tunduk kepada tuhan semesta alam.

Ketahuilah saudaraku pendakwah, sesungguhnya tangisan itu adalah merupakan natijah dari ketakutan. Ketakutan apa? Itulah ketakutan menemui kematian sebelum bertaubat, ketakutan dan istidraj (pengurniaan) nikmat-nikmat yang membawa kepada su’ul khatimah (mati dalam kekufuran), ketakutan dari sakaratul maut dan cabutan nyawa, ketakutan kepada soalan-soalan
dua orang malaikat dan azab kubur, ketakutan pada hari penghisaban dan lintasan titian sirat, ketakutan kepada neraka dan kedahsyatannya juga takut kepada pengharaman syurga dan segala nikmatnya.

Dan yang paling penting dari semua yang di atas ialah ketakutan riak ketika beribadah, ujub ketika kaya, munafik ketika bergaul, takabbur ketika berhias dan lalai ketika berhadapan dengan nikmat-nikmat keduniaan.
Begitulah seterusnya takutkan kepada semua penyakit-penyakit hati dan keburukan diri. Orang yang paling takut ialah orang yang paling mengenali diri mereka dan Tuhan mereka. Inilah apa yang disabdakan oleh junjungan
Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam hadis sahih:
“Aku merupakan orang yang paling mengenali Allah dan takut kepada-Nya.”

Firman Allah dalam surah al-Fatir ayat, 28.
“Sesungguhnya orang-orang yang takutkan Allah adalah merupakan hamba-hambanya yang ulama’ (mengetahuinya).”

Apabila seseorang manusia itu mengenali dirinya dan takutkan Tuhannya, sudah tentu dirinya dikuasai ketakutan dan bersemaraklah di dalam hatinya, tampaklah kesan (ketakutan itu) di dalam tindakannya, merubah kelakuannya, bergementarlah anggotanya dan menangislah
matanya.
Tiada yang mendorongnya melainkan untuk muraqabah kepada Allah, menghisab dirinya, bermujahadah menentang syaitan dan tiada suatu yang penting baginya melainkan untuk bertakwa kepada Allah di dalam semua tindakannya. Justerü itu baiklah keadaannya, luruslah amalannya lalu bergeraklah beliau ke arah kesempurnaan dan sampailah beliau ke setinggitinggi
martabat rohani.
Untukmu saudaraku pendakwah, fadilat kelebihan tangisan kerana takutkan Allah:

1. Mereka ini berada di bawah naungan lindungan Allah pada hari kiamat. As-Syaikhan meriwayatkan: “Tujuh golongan dilindungi Allah di bawah lindungannya di hari yang tiada sebarang pelindung melainkan lindungannya. (Salah satu darinya ialah) ) seorang yang mengingati Allah di kala keseorangan lalu mengalirlah air matanya.

2. Mereka ini aman dari azab Allah. Tarmizi riwayatkan dari ibnu Abbas katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Dua jenis mata yang tidak disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga di jalan Allah.”

3. Mereka ini mendapat lindungan Ilahi. Tarmizi meriwayatkan dari Abu Umamah dari Nabi s.a.w:

“Tiada sesuatu yang dikasihi Allah lebih dari dua wangian dan dua kesan: Wangian air mata yang mengalir kerana takutkan Allah dan wangian yang berupa darah yang mengalir dalam perjuangan di jalan Allah, ada pun dua kesan ialah kesan di dalam berjuang di jalan Allah dan kesan dalam menunaikan kewajipan dan kewajipan-kewajipan kepada Allah (iaitu sembahyang berjamaah).

4. Mereka dalam limpahan keampunan Allah. Ibn Hibban dan Al-Baihaqi meriwayatkan dari Al-Abbas bin Abd. Muttalib r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w: “Apabila gementar seorang hamba kerana takutkan Allah berguguranlah segala dosa-dosanya sebagaimana berguguran dedaun dari pokok yang kekeringan.

Sekiranya kita menggali dari sirah nabawi s.a.w, juga dalam kehidupan para sahabat dan para salaf, kita akan dapat menyaksikan gambaran yang benar, contoh teladan yang baik dalam ketundukan mereka kepada Allah, tangisan mereka kerana takutkan Allah dan kesedaran mereka terhadap keagungan dan kekuatan Allah.

Untuk kalian beberapa gambaran contoh teladan:

1. As-Syaikhan meriwayatkan dari Ibn Mas’ud r.a berkata: Rasulullah telah bersabda kepadaku:
“Bacakanlah untukku Al-Quran.” Aku ber kata, “Apakah aku bacakan untukmu al Qur’an sedangkan kepada engkau ia diturunkan?” Sabda baginda: “Aku suka mendengarnya dari orang lain.” Lalu aku bacakan untuknya surah an-Nisa’ sehingga sampai kepada ayat, (dalam surah al-Nisa’: 41) “Maka bagaimanakah keadaannya nanti apabila kami mendatangkan seorang saksi (Rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi. atas mereka ini (sebagai saksi umatmu).”

Sabda baginda: “Cukup sekadar ini. Aku memandang ke arahnya dan aku lihat kedua pipinya dibasahi oleh air mata!
2. Muslim meriwayatkan dari Anas katanya: Berkatalah Abu Bakr kepada Umar r.a selepas kewafatan Rasulullah: “Ayuh kita menziarahi Umm Aiman sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah.” Apabila sampai keduanya mereka melihat Umm Aiman sedang menangis. Kedua-duanya bertanya: “Apakah yang engkau tangiskan? “Tidakkah engkau tahu apa yang terbaik di sisi Allah untuk Rasulullah s.a.w.” Umm Aiman menjawab: “Sesungguhnya aku tahu apa yang
terbaik di sisi Allah untuk Rasulullah s.a.w tetapi aku menangis kerana wahyu telah terhenti dari langit
. Keduanya merasa terharu lalu turut menangis bersama Umm Aiman.

3. Bukhari meriwayatkan bahawa Abd Rahman Bin Auf telah dihidangkan dengan makanan dan beliau berpuasa, lalu beliau berkata: Mus’ab telah terbunuh dan beliau merupakan seorang yang
lebih baik dariku, dan tidak di dapati untuknya bahan untuk mengkafankannya melainkan sehelai selimut yang mana sekiranya ditutupi kepalanya akan terbukalah kakinya dan begitulah sebaliknya. Tersedia di hadapan kita kesenangan dunia yang menakutkan kita sekiranya amal kebaikan kita ketinggalan didahuluinya.” Beliau menangis sehingga lupakan makanannya!
4. Baihaqi dan al-Asbahani meriwayatkan dari Anas katanya Rasulullah membaca ayat” “Bahan bakarannya ialah manusia dan batu.” (at-Tahrim: 6) Baginda bersabda: “Api dinyalakan (dibakar) seribu tahun sehingga merah menyala, kemudian seribu tahun lagi sehingga putih, dan seribu tahun lagi sehingga hitam legam. Ianya hitam yang begitu hitam dan tidak mungkin hilang kerana kedahsyatannya.

Anas berkata: Dan di hadapan baginda ada seorang lelaki dari Habsyah, lelaki tersebut menangis. Lalu turun malaikat Jibril a.s lantas berkata: “Siapakah yang menangis itu? Jawab baginda: “Lelaki dari Habsyah dan aku mendoakan baginya kebaikan.” Jibril berkata: “Maka sesungguhnya Allah berfirman: Demi kekuasanku dan ketinggianku di atas Arasy, tidak menangis satu mata di dunia kerana takutkan aku melainkan akan aku banyakkan ketawa untuknya di syurga.”
5. Ibn Abi Dunya meriwayatkan (hadis mauquf) dari Abdullah bin Amru katanya: “Sekiranya seorang ahli neraka dikeluarkan ke dunia nescaya akan mati seluruh penghuninya akibat kedahsyatan rupa dan baunya.” Kemudian Abdullah menangis tersedu-sedu.
Lantaran ini berusahalah saudaraku, pendakwah, untuk bersendirian di suatu ketika yang mana hanya engkau dan Tuhan engkau sahaja, seterusnya mengingati kematian dan apa yang berlaku selepasnya, merenungi hari akhirat dan kedahsyatannya, juga menghisab diri sendiri dan
menanyakannya: apakah yang telah engkau sediakan untuk hari yang dijanjikan ini?
Semoga dirimu akan diresapi ketakutan yang akan mendorong dirimu untuk menangis. Sehingga engkau menjadi kalangan yang mendapat lindungan Arasy Allah pada hari yang amat menakutkan dan semoga engkau tergolong di kalangan mereka yang mendapat keampunan Allah di hari yang tiada berguna sebarang harta dan anak pinak, juga semoga engkau tergolong
di kalangan mereka yang dilimpahi kasih Ilahi di dunia dan akhirat.

Seterusnya engkau tergolong di kalangan mereka yang bergerak ke arah kesempurnaan, meninggi di tingkat kerohanian dan sampai ke tingkat para siddiqin, para syuhada’ dan para salihin dan sebaik-baik mereka yang dibuat teman.

Thursday, April 24, 2008

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani (Bahagian 4)

Keempat — Sentiasa mengingati Allah di setiap ketika dan keadaan.

Ini adalah merupakan penintah Allah s.w.t dan terdapat begitu banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-hadis mengenainya. Antaranya ialah:

“Lantaran itu, ingatlah kepada-Ku, niscaya Aku ingat kepada kamu: dan hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku, dan janganlah kamu lupakan budi-Ku.” (Al-Baqarah: 152)

“Hai orang-orang yang beriman,! Ingatlah akan Allah ingatan yang banyak; Dan beribadatlah kepada-Nya (pada waktu) pagi dan petang.” (Al -Ahzab :41-42)

“Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah sambil berdiri dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rus uk kamu. Tetapi apabila kamu teluh tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya sembahyang itu adalah atas Mu ‘minin satu kewajiban yang ditentukan waktunya.” (An-Nisa’ :103)

Dan antara hadis-hadis mengenainya:

“Perumparnaan mereka yang mengingati Tuhannya dengan yang tidak megingati ialah seperti mereka yang hidup dan yang mati.” (Riwayat al-Bukhari)

“Allah akan membangkitkan beberapa kaum pada hari kiamat yang mana di wajah-wajah mereka terdapat cahaya. Mereka ini berada di atas mimbar-mimbar yang dibuat dan mutiara, manusia-manusia yang lain merasa iri hati kepada mereka, mereka ini bukanlah para anbiya’ juga bukanlah para syuhada’, lalu bangkitlah seorang badwi (beliau berdiri di atas lututnya) bertanyakan Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah sifatkanlah mereka semoga kami dapat mengenali mereka.” Jawab baginda: “Mereka itu merupakan orang orang yang saling kasih mengasihi antara satu sama lain semata-mata kerana Allah dan mereka itu adalah dari puak-puak yang berlainan, juga negeri yang berlainan. Mereka itu berkumpul untuk mengingati Allah.”
(Riwayat at-Tabrani)

Dan dalam suatu hadis Qudsi:

“Aku berada di sisi hambaku yang bersangka baik terhadapku. Aku bersamanya ketika mana ia mengingatiku. Sesungguhnya jika ia mengingatiku di dalam dirinya maka aku mengingatinya dalam diriku. Barangsiapa yang mengingatiku (berzikir) dalam perkumpulan yang ramai,
maka aku akan menyebutnya di dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika sekiranya ia menghampiri sejengkal maka aku akan menghampirinya sehasta, dan jika ia menghampiriku sehasta maka aku akan menghampininya sedepa, dan jika sekiranya ia mendatangi kepadaku dengan berjalan, maka aku akan mendatanginya dengan berlari.
(Riwayat Syaikhan)

Pengertian zikir — ertinya merasakan kebesaran serta keagungan Allah di setiap keadaan sama ada perasaan ini di pemikiran, hati, lidah, perbuatan dan ianya meliputi seluruh tindakan, tilawah (pembacaan), ibadah dan ilmu. Inilah pengertian zikir yang begitu banyak diterangkan oleh al-Qur’anul Karim oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Zikir dengan pengertian pemikiran. Inilah apa yang dinyatakan oleh al-Qur’an di dalam an-Nur, ayat 37.

“Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan (jual beli) daripada menyebut serta mengiingati Allah dan mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

Merasakan kebesaran serta keagungan Allah serta muraqabah kepadanya berterusan sehingga dalam urusan perniagaan. Merasakan kebesaran Allah di hati. Ini dinyatakan oleh firman Allah di dalam surah ar-Ra’du, ayat 28.
“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilahi dengan mengingati Allahi itu tenang, tenteramlah hati mereka.”

Merasakan kebesaran Allah dengan begitu mantap di hati dan menguasainya di dalam diri menjadikan seseorang mukmin itu akan dapat merasai kemanisan iman dan ketenangannya di dalam pelusuk dirinya. Zikir (maknanya) di lidah. Termasuk di dalam pengertian zikir di lidah
ini ialah setiap ayat dan hadis yang memerintahkan setiap mukmin mengingati Allah. Ini adalah kerana mengingati Allah (zikir dengan lidah) ialah yang pertama-tamanya dimaksudkan oleh ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan hadis Abu Hurairah seperti yang
diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ibn Hibban dari Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah azza wajjala berfirman: aku bersama hambaku apabila ia mengingatiku dan bergerak kedua bibirnya (menyebut ku).”

Dan dalam riwayat Tirmizi dari Abdullah bin Bisr bahawa seorang lelaki bertanya:

“Wahai Rasulullah, syariat-syariat Islam begitu banyak untuk aku laksanakan. Sabda baginda: “Hendaklah kamu (lidahmu) sentiasa basah dengan menyebut Allah.”

Termasuk juga dalam pengertian zikir pada lidah: Setiap doa dan riwayat yang sahih dari Nabi atau para sahabat atau salaf as-salih sama ada yang berkaitan dengan doa di waktu pagi dan petang, doa makanan dan kekenyangan, atau doa musafir dan bermukim, doa masuk dan keluar, doa tidur dan jaga, doa tahajjud dan melihat pandangan alam. Termasuk juga dalam zikir ini ialah istighfar rabbani yang disebutkan oleh al-Qur’an dan diriwayatkan oleh Nabi s.a.w.

Zikir dalam perbuatan yang meliputi tilawah:

Firman Allah dalam surah al-Hajr, ayat 9.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan “al-zikr” dan kamilah yang menjaganya.”

Yang dimaksudkan dengan al-zikir dalam ayat di atas ialah al-Qur’an al-Karim. Zikir dalam perbuatan yang meliputi ibadah. Firman Allah dalam surah al-Jumuah, ayat 9.

“Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu diseru menunaikan sembahyang pada hari Jumaat maka bersegeralah mengingatiAllah.”

Yang dimaksudkan dengan mengingati dalam ayat di atas ialah sembahyang Jumaat.
Zikir pada perbuatan yang meliputi ilmu. Firman Allah dalam surah al-Anbiya’, ayat 7.

“Maka tanyalah ahli al-zikr sekiranya kamu tidak mengetahui.”

Yang dimaksudkan dengan ahli al-zikr ialah para alim ulama’. Ketahuilah saudaraku pendakwah, sesungguhnya zikir tidak terbatas kepada satu-satu keadaan, juga tidak khusus kepada jalan-jalan yang tertentu, bahkan ianya meliputi keseluruhan perkara yang telah disebut dan
dinyatakan sebelum ini iaitu zikir pada pemikiran, hati, lidah dan perbuatan.

Bersungguh-sungguh saudaraku pendakwah untuk sentiasa mengingati Allah. Semoga dengan ini diri engkau akan meningkat kesetinggi-tinggi martabat kerohanian dan engkau akan mencapai semuliamulia munajat ke hadrat Ilahi.

Semoga dengan ini engkau akan merupakan muslim yang sentiasa beribadat sentiasa mengingatj Allah, tenang serta khusyu’, juga tidak dicemari dengan sebarang maksiat, tidak digelumangi
dengan keburukan. Inilah demi tuhan, matlamat ketakwaan, kebaikan dan akhlak yang mulia.

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani (Bahagian3)

Ketiga — Mendampingi dengan mereka yang terpilih yang merupakan orang-orang yang mengenal Allah.

Tidak diragui lagi bahawa para pendakwah yang paling perlu untuk mendampingi dengan mereka yang terpilih ini iaitu orang-orang yang bertakwa dan merupakan mereka yang mengenali Allah. Ini adalah didasarkan kepada dua sebab:

Pertama — kerana syarak menyuruh untuk mendampingi mereka.

Kedua — untuk berusaha mendapat ketakwaan, kerohanian dan nasihat dan mereka.

Dalam pada itu suruhan syarak untuk mendampingi dan bersama mereka ialah firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar.” (At-Taubah: 119)

Juga sabda baginda (selawat dan salam ke atasnya) seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan Abu Said Al-Khudri r.a dan Nabi s.a.w sabdanya:
“Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang mukmin dan janganlah makanan engkau dimakan melainkan oleh orang yang bertakwa.”

Juga apa yang dikatakan oleh sekumpulan salaf: “Sahabatilah mereka yang memajukan engkau dengan keadaan mereka itu menunjukkan (mengarahkan)mu kepada Allah dengan segala perkataan mereka.

Antara kelebihan persahabatan yang ikhlas dan kasih sayang yang sebenar ialah sesungguhnya seseorang adalah bersama mereka yang ia kasihi walaupun yang dikasihi lebih rendah ketakwaan, ilmu dan kedudukan. Bahkan ia adalah bersamanya di dalam syurga insyaAllah. Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh As-Syaikhan dari Abu Musa Al- Asya’ari r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:

“Seseorang itu adalah bersama orang yang ia kasihi.”

Dan dalam riwayat lain, dikatakan kepada baginda s.a.w tentang seorang lelaki yang mengasihi satu kaum tetapi tidak mengiringi mereka? Jawab baginda s.a.w: Seseorang itu adalah bersama orang yang ia kasihi.”

Mereka yang terpilih ini mempunyai beberapa ciri. Antaranya ialah:

  • iltizam mereka terhadap suruhan syarak dengan niat yang ikhlas, ketaatan yang sebenar dan amal yang berterusan.
  • tidak lahir di kalangan mereka sebarang maksiat, bidaah atau perkara-perkara yang menyalahi syarak, kerana mereka merupakan yang beriltizam serta bersih dan sifat-sifat ini.
  • mengambil berat tentang keaiban mereka sendiri daripada keaiban
    orang lain.
  • menegakkan amar makruf dan nahi mungkar dengan kekuatan iman dan keberanian diri.
  • lahir pada mereka limpahan ketakwaan, cahaya keimanan di wajah dan air muka mereka.
  • mengambil berat tentang hal ehwal kaum muslimin dan bersemangat untuk kepentingan mereka.
  • menggerakkan yang benar untuk tanggungjawab dakwah dan semangat yang ikhlas dalam permasalahan islah, jihad dan perubahan.


Apabila seorang pendakwah menemui penyeru-penyeru kebenaran, pembimbing kebaikan dan pemimpin hidayah, keseluruhan inilah sifat-sifat mereka. Bersegeralah untuk bersahabat dengan mereka dan gabungilah mereka serta hadirilah majlis mereka tanpa memandang rendah atau lebih kurang.
Dirahmati Allah kepada mereka yang berkata:
Pegangilah sekiranya engkau menemui orang orang yang mulia, maka sesungguhnya mereka di dunia ini sedikit.

Hendaklah para pendakwah mengawasi diri mereka daripada terpaut kepada golongan yang menyeru kepada keburukan yang melucutkan dari diri mereka dan kadangkala dari pengikut-pengikut mereka syarak, meninggalkan hukum-hukum Islam, dan mereka ini berjalan di jalan yang kosong dan petunjuk syarak dan manhaj para salaf. Mereka ini merupakan penyeru kepada bidaah, tidak menuju melainkan kepada kesesatan dan tidak menyeru melainkan kepada kesesatan.

Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 63.
“Oleh itu hendaklah mereka yang rnengingkari perintah -Nya beringat serta berjaga -jaga supaya mereka tidak ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur:63)


Untuk meridapatkan takwa, rohani dan na sihat dan mereka:

Tidak diragui lagi apabila seorang pendakwah mendampingi mereka yang merupakan contoh ahli takwa dan makrifah kepada Allah, maka sesungguhnya beliau sedang mengusahakan dari mereka ketakwaan, menimba dari hal ehwal mereka juga dan perkataan mereka yang tertentu
kerohanian bahkan mengambil dari mereka setiap apa yang bermanfaat sama ada urusan agama, dunia dan akhirat. Bahkan juga adalah beliau berjalan dikejernihan dengan suatu perjalanan yang pantas untuk mencapai kematangan, kesempurnaan dan kemakrifahan kepada Allah sebagaimana dikatakan: “Sahabat ialah pendorong, jangan katakan kepadaku: Siapakah
saya? Tetapi katakanlah (tanyalah) siapakah yang engkau sahabati? Engkau akan tahu siapa saya!”

Ke arah inilah nabi s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibn Hibban:
“Seseorang itu adalah mengikut cara hidup sahabatnya oleh itu telitilah kamu terhadap orang yang kamu sahabati.”

Apa yang telah dimaklumi secara jelas bahawa sahabat yang baik mendorong ke arah kebaikan dan petunjuk manakala sahabat yang jahat mendorong ke arah kejahatan dan kesesatan. Dirahmati Allah mereka yang berkata:
Atas seseorang itu janganlah bertanya (suatu yang lain) tetapi tanyalah (tentang) sahabatnya. Maka tiap-tiap sahabat dengan sahabatnyalah ia berpandu. Betapa telah kita dengari tentang pemuda yang terdahulu menjalani jalan dakwah kepada Allah, mereka ini mendampingi orang-orang baik yang merupakan ahli takwa dan makrifah dengan Allah.

Pemuda ini mendapat (dan golongan ini) apa yang mengangkat diri mereka ke tingkat keimanan, akhlak, keperibadian dan dakwah yang tinggi. Mereka muncul dalam masa yang singkat sebagai pemuda mursyid dan pendakwah yang menjadi contoh seperti As-Syahid Sayyid Qutb, Al-marhum Hassan Al-Hudhaibi, As-syahid Abd Qadir ‘Audah, As-syahid Muhammad
Farghali, As-syahid Kamal As-Sananiri dan puluhan mereka yang lain yang merupakan keluaran dari Madrasah Al-Imam As-syahid Hassan Al-Banna. Sesungguhnya bagi mereka ini akan menjadi peringatan dan ikutan (qudwah) yang berkekalan kepada generasi berikutnya.

Begitu juga dengan Al-Marhum Syeikh Mustafa As-siba’i pengasas yang pertama bagi gerakan Islam di Syria yang mana beliau telah melatih ratusan belia mukmin yang sedar lalu mereka ini dengan berkat kelebihan mendampingi beliau telah menjadi pelita-peljta hidayah dan pemimpin-pemimpin islah. Di kalangan mereka ini ada yang telah menunaikan janji mereka (syahid) dan yang masih menunggu (untuk syahid) dan mereka ini tidaklah sekali-kali mengingkari janji-janji mereka.

Kita juga tidak melupakan madrasah As-syeikh yang dihormati Abul Ala Al-Maududi, pendakwah agung As-syeikh Abdul Hassan An-Nadawi dan puluhan mereka yang lain yang merupakan tumpuan pendakwah, para ulama’ dan pemuda untuk mencapai ketakwaan, keilmuan dan kerohanian, mengikat diri merëka dengan dakwah, bersemangat untuk Islam dan jihad untuk meninggikan kalimah Allah.

Sepastinyalah mereka ini kekal dalam sejarah kemanusiaan, sebagai panji-panji, petunjuk kepada mereka yang berjalan, persiapan untuk jihad, sebagai sinar yang bercahaya di lautan kegelapan.

Betapa perlu kepada para pendakwah untuk bersahabat dan mendampingi mereka yang merupakan contoh teladan dari barisan hidayat, pimpinan yang mengarahkan ke suatu jalan yang menyampaikan kepada martabat-martabat kerohanian, keikhlasan dan amal di jalan Allah.

Dalam pada itu juga agar para pendakwah dapat mengorakkan langkah berjalan di jalan yang telah dilalui oleh mereka ini menjejaki jejak dakwah mereka seterusnya melalui sejarah, tarbiyyah ruhiyyah (kejiwaan) dan islah yang telah mereka olahkan. Tidak berlaku semua ini melainkan dengan kekuatan Allah.

Mereka itu adalah bapa-bapaku, datangkanlah kepadaku golongan seperti mereka. Bila mana kita (para pendakwah) sedang menjalankan dakwah kepada manusia ramai.

Monday, April 21, 2008

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani

Amalan-Amalan Dalam Menguat Serta Memperteguhkan Rohani.
(Bahagian 2)

Kedua — Mengiringi Nabi s.a.w dalam sirah (perjalanannya) yang harum.

Ini adalah kerana baginda merupakan contoh ikutan yang paling baik, pimpinan yang salihah dan contoh teladan yang sempurna bagi semua manusia di sepanjang zaman dan tempat. Benarlah firman Allah dalam surah surah Al-Ahzab ayat 21.

“Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) han akhirat serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Para pendakwah merupakan manusia yang paling utama untuk menjejaki kehidupan Nabi s.a.w di setiap sudut keagungannya, sama ada yang berkaitan dengan ibadah dan kezuhudannya atau yang bersangkutan dengan sifat tawaduk dan sabarnya atau yang khusus dengan kekuatan dan
keberaniannya juga yang berhubungan dengan politik dan keteguhan baginda di atas prinsip.
Perkara mencontohi nabi yang paling jelas ialah bagaimana baginda menghimpunkan agama dan dunia, ibadah dan kehidupan, pembersihan (jiwa) dan jihad. Tegasnya baginda tidak mengabaikan suatu sudut pun dari ini.

Ustaz Abd. Rahman Azam menyatakan dalam kitabnya (Batd lu Ab Thal) muka surat 48: “Sesungguhnya perkara yang menjadi tumpuan pengamatan kita tentang kehidupan baginda s.a.w ialah himpunan sesuatu yang nampaknya asing iaitu himpunan (jalinan) antara ibadahnya yang mencapai setinggi martabat dan pelaksanaannya terhadap urusan keduniaan, hal ehwal dakwah dan perancangan jihad.

Baginda merupakan jurucakap umat, mentadbir negara yang masih muda di muka alam, menghubungi dan mendakwah negara negara lain, menerima utusan (duta) dan memuliakan mereka, melancarkan pasukan tentera dan memimpin mereka, berdebat dengan para ahli agama dan pemerintah sekelilingnya, memberikan dorongan untuk kemenangan, mengawasi dan kekalahan, mengujudkan petugas-petugas, mengumpulkan harta-harta (rampasan perang) dan membahagikannya seraya berkata: “Sekiranya aku tidak berlaku adil maka siapakah lagi yang akan melakukannya,” bersegera mengajarkan manusia dengan agama Allah: iaitu mentafsirkan wahyu yang umum, menerangkan (menjelaskan) kesamaran, mencorakkan langkah kehidupan, mengeluarkan hukum-hukum yang furuk daripada hukum-hukum yang asal, mengembalikan apa yang tidak dikhabarkan Allah kepada apa yang dikhabarkan kepadanya.

Dalam mengerjakan itu semua baginda sebenarnya melaksanakan kerja harian yang merupakan tugas pahlawan dunia ini dan dalam kesibukan tugas hariannya ternyata bahawa baginda merupakan seorang yang sentiasa beribadat kepada Allah di malam dan siang dengan ibadat yang lebih agung daripada mereka yang beribadat di biara-biara dan puncak-puncak gunung.
Keseluruhan ini adalah himpunan antara agama dan dunia, yang dilaksanakan oleh pahlawan segala pahiawan yang juga merupakan contohteladan yang menjadi catatan sejarah kepada manusia.”

Pandangan sepintas lalu terhadap keseluruhan apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dalam menghimpunkan antara agama dan dunia, ibadah dan kehidupan, maka sepatutnyalah bagi si pendakwah mencontohi corak ibadat baginda serta memerhati kan bahawa baginda merupakan seorang yang rnenghidupkan keseluruhan malam kecuali sedikit (untuk tidur) bahkan
baginda bertahajjud di malam hari sehinggakan bengkak-bengkak kakinya. Hendaklah si pendakwah berusaha supaya menyempurnakan amalan-amalan sunat sambil bersikap sederhana dan hendaklah ia bersungguh sungguh mengerjakan amalan-amalan sunat setakat mana kemampuannya.

Hendaklah ia mencontohi zuhud baginda dan perhatikan dengan sepenuh perhatian bahawa baginda tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum tiga hari berturut-turut sejak baginda di Madinah sehingga ia wafat. Seandainya baginda inginkan kekenyangan baginda boleh
mendapatkannya.

Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan-amalannya sambil bersikap sederhana dan menjauhi kenikmatan dunia sekadar yang ia mampu.

Teladanilah tawaduk rendah hati baginda, renungilah bahawa baginda juga duduk di atas tanah, makan bersama khadam, menampung bajunya, memakai sejenis kulit yang seumpama kasut, berkhidmat dalam kerja-kerja keluarganya, menunaikan jemputan sama ada dari kalangan mereka yang merdeka, khadam atau hanya seorang hamba perempuan dan duduk di mana
sahaja terdapat ruang kosong dalam majlis. Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan amalannya serta bersikap sederhana dan merendahkan dirinya kepada orang-orang mukmin sekadar kemampuannya.

Juga teladanilah sifat tidak pemarahnya, perhatikanlah kata-kata yang ditujukannya kepada mereka yang menumpukan segala usaha untuk menyakitinya, menghalaunya keluar dan tanah tumpah darahnya serta berpakat untuk mem bunuhnya. “Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu sangka akan kulakukan ke atas kamu?” Mereka menjawab: “Engkau adalah saudara yang mulia dan anak kepada seorang yang mulia.” Baginda menjawab, “Pergilah, sesungguhnya kamu adalah bebas. “Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan-amalannya serta bersikap sederhana dan memaafkan setakat kemampuannya.

Teladanilah juga keteguhannya berpegang kepada prinsip perjuangan, renungilah keteguhannya yang begitu jarang dilihat, pada orang lain, keberaniannya yang paling tinggi terhadap musyrikin Quraisy ketika mana dikatakannya kepada bapa saudaranya kalimah yang kekal. “Demi Allah
wahai bapa saudaraku sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananmu dan bulan di tangan kiriku semata-mata untuk kutinggalkan urusan ini sekali-kali takkan kutinggalkan sehinggalah Allah memberikan kemenangan atau aku binasa kerananya.” Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan-amalan serta bersikap sederhana dan hendaklah ia
berkata perkara yang benar sekadar kemampuannya.

Teladanilah kekuatan tubuh badan baginda dan lihatlah bagaimana gagahnya baginda bergusti dengan Rukanah sebanyak tiga kali dan bagaimana baginda memberikan tamparan kepada puak Ubai bin Khalaf di peperangan Uhud dan bagaimana para sahabat meminta bantuannya untuk
menggali batu-batu yang keras di peperangan Khandak. Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan-amalannya serta bersikap sederhana dan carilah setiap sesuatu yang memberikan kekuatan kepada badan sekadar yang mampu.

Juga teladanilah keberaniannya yang tiada tandingannya dan lihatlah kedudukannya yang agung di peperangan Hunain ketika mana dunia menyaksikan keberaniannya ketika baginda berkata: Aku merupakan Nabi yang tidak berdusta. Aku merupakan cucu Abdul Mutalib. Hendaklah si pendakwah menyempurnakan amalan-amalannya serta bersikap sederhana dan mengharungi segala kesusahan pertempuran yang dahsyat dengan penuh keberanian sekadar kemampuannya.

Demikianlah ketika mana para pendakwah mengiringi Rasulullah s.a.w dalam mendampingi sirah Rasulullah s.a.w, sirahnya yang suci dan sifat sifatnya yang mulia. Berjalan bersamanya ketika mana baginda berjalan, duduk bersamanya ketika mana baginda duduk, mendengar kelunakan nasihatnya ketika baginda berkhutbah dan bercakap.

Contohilah ketinggian munajat baginda kepada tuhannya di kesunyian malam dan siangnya, juga contohilah kepahlawanannya yang tiada tandingan di medan pertempuran dan jihad. Ketika mana para pendakwah mendampingi (sirah) Nabi dengan dampingan serta penghayatan yang sebegini mendalam dan mengiringi (sirah) Rasulullah s.a.w ini di mana saja, lembutlah hatinya dengan kejernihan jiwa baginda s.a.w, bersihlah diri (jiwa)nya dengan kebersihan jiwa baginda dan nyatalah baginya jalan yang salih, serta tujuan matlamat yang tertinggi di kehidupan ini dan bergeraklah beliau sedikit demi sedikit ke arah kesempurnaan, kerohanian sehingga menjadi seorang insan yang waras, mukmin yang bertakwa dan muslim yang matang.